Aim Zulhashim 26 Tahun; Impian & Cita-Cita

|


"masihkah bersedih pada hakikat dikurniakan padamu, bukankah cita-citamu memperjudikan kasih sayang....."

1. Pukul 5.58 pagi, tanggal 20 April 2016, aku mulakan karangan yang berbaur bebelan serta isi-isi yang penuh dengan.. Hmm.. Macam mana nak cakap eh? Haaa! Dulu bila orang tanya kat aku apa cita-cita aku. Aku tak tahu nak jawab apa. Waktu sekolah rendah aku jawab nak jadi driver bas CityLiner. Sekarang bila orang ajukan soalan yang sama, aku terdiam.

2. Sebenarnya dari pukul 2 pagi tadi (kalau tak silap aku lah..) aku busy mengerjakan video-video yang masih belum siap. Yelah, nanti kang kalau aku tak siapkan video, aku takde payment. Bila takde payment, aku takde duit, bila aku takde duit, aku miskin. Bila aku miskin, aku stress. Bila aku stress, semua orang aku marah.

3. So, dengan kudrat tenaga yang masih berbaki lebih kurang secubit garam secukup rasa, sambil mengharapkan tenaga tambahan yang aku peroleh hasil dari air milo panas bercampur nestum yang aku bikin dengan penuh rasa kasih sayang, diharap bolehlah membantu aku untuk berjaga sampailah video ni siap. Entah bila nak siap, aku tak tahu lah. Ahhh! Tak kisah! Janji dapat payment.

4. Ohh, by the way, hari ni aku baru daftarkan syarikat aku. Yes, CH MediaGraphy. Alhamdulillah, akhirnya aku punya syarikat sendiri setelah selama beberapa bulan ni, perniagaan aku dijalankan secara 'haram' tak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Hehehehehehe!

5. Alang-alang dekat pejabat SSM tu, ada pejabat Jabatan Pendaftaran Negara. So, aku renew la IC lama aku yang chip nya dah tak boleh dibaca, dengan terkopak sana terkopak sini, dengan gambar IC serupa penyangak Sarip Dol kampung dusun. Fuhhh! Siap jugak. Finally IC aku senonoh sikit berbanding yang sebelumnya. Hahahaha! Aku renew IC aku sebab siang nanti aku nak buka akaun bank syarikat. Senang nak berususan. Nampak profesional sikit. Fuhhh!

6. Tiba-tiba, aku macam ketandusan idea. Tak tahu nak mengolah video ni macam mana. Aku mati akal, muka dah jadi petak, otak dah blank. Badan dah letih sebab lama sangat ride motor tadi. Aku lepaskan genggaman tangan kanan aku dari tetikus. Ikut hati nak main game. Ikut badan rasa macam nak tidur je. Sumpah, aku letih gila ni.

7. Ok, aku decide untuk tidur. Aku bentangkan selimut TOTO Narita di lantai studio yang berpasir. Celaka betul. Tiap hari sapu lantai pun masih berpasir lagi.

8. Aku labuhkan badan kepeng yang perutnya menjadi idaman wanita seluruh dunia (yes! buncit!) ke atas TOTO Narita yang aku bentang tadi. Aku pejamkan mata. Tapi, sebagai manusia yang dah biasa berjaga malam dan tidurnya pada siang hari, masakan aku boleh tidur. Sebab aku letih nak mampus. Kadang-kadang aku nak tidur pun tak boleh bila badan aku dah terlalu letih.

9. Alunan bunyi cengkerik yang membingit, berdendang kat dalam gegendang telinga aku. Aku mula berangan, aku mula terbayang. Terbayang masa depan aku. Aku terfikir dengan usaha aku dalam menjayakan syarikat aku. Boleh jadi kaya tak dengan main video? Paling tak pun, boleh jalan ke ni?

10. Aku teringat lagi pada tahun 2014. Zaman aku menganggur tak bekerja. Entah kenapa aku pemalas gila waktu tu. Tiap hari aku duduk rumah, menghadap komputer, tengok movie, main game, main Facebook, main Twitter. Itu je lah kerja aku seharian di rumah. Tak keluar tengok dunia luar pun. PC kat rumah tulah dunia aku.

11. Sampai satu masa tu, aku punyalah terdesak nak dapatkan duit. Aku keluar rumah, cari tin, cari besi, cari surat khabar, kemudian aku jual. Dapatlah lima ringgit. Cukup-cukup untuk aku isi minyak motor dan segelas teh o ais.

12. Sebenarnya, waktu tu aku dah putus asa. Putus asa dengan segala-galanya. Bermacam-macam janji orang tabur kat aku sambil berkata "ohh! Satu hari nanti kau akan di-transform-kan from nothing into something. Janjikan stesen minyak lah, janjikan untuk jadi artis lah. Tapi janji hanya tinggal janji, tinggal sejarah. Semuanya palsu belaka. Pandai tabur janji tapi tak tunaikan. Tinggalkan aku jadi bangang, bingai, terkontang-kanting macam tu je. Tak rasa bersalah ke woi?

13. Aku tinggalkan segala apa yang aku ada untuk kejar cita-cita yang aku tak tahu bahawa semuanya palsu belaka. Andai aku ahli nujum dan aku tahu kesudahannya jadi begini, aku persetankan saja mereka semua. Mungkin akan aku acukan saja jari tengah kepada mereka agar mereka faham betapa jahanamnya mereka semua.

14. Aku putus harapan, putus asa, malas nak berharap apa-apa. Kira macam berserah je. Kalau ada benda tu, adalah. Kalau tak ada, tak adalah. Aku lebih bahagia duduk rumah, jadi manusia tak berguna dengan menghabiskan masa depan PC buat benda-benda lagho.

15. Cuma, sampai bila aku harus jadi macam ni? Terus diam tak berbuat apa-apa, takkan bawa aku ke mana-mana.

16. Kini, umur sudah meningkat. Makin tua. Aku perlu lakukan sesuatu. Kini aku benar-benar berharap segala usaha yang aku dah rancang membuahkan hasil. Yes, jayakan CH MediaGraphy sebagai sebuah production video yang berdaya saing dengan production yang lain. Videografi adalah satu bidang yang aku sukai, aku minati dan aku cintai. Yes, aku sedang bercinta dengan kerjaya aku. Jadi, tolong jangan ganggu percintaan kami!

17. Aku gembira bila aku dapat pegang kamera, merakam setiap detik indah yang berlaku, kemudian aku abadikan semua kenangan itu di dalam cakera padat digital untuk tatapan mereka semua kelak.

18. Jadi, sekarang ni bila orang tanya apa cita-cita aku, itulah jawapan aku. "Aku nak gembirakan orang lain". Itulah cita-cita aku sekarang, bahagiakan orang lain agar aku bisa temui bahagia yang aku cari selama ini. Aku tak perlu pun sebenarnya menghancurkan kejayaan orang lain untuk puaskan dan gembirakan diri sendiri. Cukup dengan aku gembirakan orang lain, itu sudah cukup menggembirakan dan membahagiakan aku.

19. Lupakan saja semua benda yang dah berlalu, biarkan segala kenangan pahit pergi dan jangan pernah cuba kembalikan semua kepahitan. Jadikan sebagai iktibar dan pengajaran. Aku mahu berubah, demi diri aku, demi keluarga aku, demi masa depan aku.

20. Semoga impian dan cita-cita aku menjadi kenyataan. Doakan aku.

"janganlah memburu angin yang berlalu, kelak kau terima jawapan yang kecundang, pulang saja di mana permulaan langkahmu, biar saja angin itu terus berlalu...." -Wings, Biarkan Berlalu.

1 comments:

Anonymous said...

Good luck driver bus. hahah
tahniah dah register company sendiri weh . Oh don't worry, aku akan tetap baca blog kau . sekurangnya masih ada blogger yang menulis dari hati

Post a Comment